KUANTAN: Pahang merekodkan lima kes kematian baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 142 kes.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, lima kematian baru itu melibatkan empat lelaki dan seorang wanita dengan dua daripadanya merupakan warga emas.
“Tiga kematian dari Jerantut membabitkan lelaki dari Kampung Paya Teh berusia 59 tahun mempunyai kaitan dengan Kluster Paya Teh dan seorang warga emas berusia 70 tahun dari Kampung Temin daripada Kluster Kampung Lada manakala seorang lelaki berusia 43 tahun dari Kampung Jerantut Feri.
“Kes kematian di Maran pula mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga iaitu lelaki berusia 60 tahun dari Felda Jengka 1 dan wanita warga emas berusia 86 tahun dari Janda Baik, Bentong yang mempunyai kaitan dengan Kluster Jalan Jaafar,” katanya dalam kenyataan Laporan Situasi Covid-19 Negeri Pahang di sini hari ini.
Dr. Bahari berkata, sebanyak 200 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 14,390 kes dengan kewujudan satu kluster baharu, Jalan Songsang di Temerloh.
“Berdasarkan jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 188 kes merupakan warganegara Malaysia manakala 12 kes merupakan warga asing.
“Kesemua kes merupakan jangkitan tempatan, terdapat 125 kes diperoleh daripada saringan kluster, 50 saringan kontak rapat, 12 saringan bergejala, empat saringan bersasar, satu saringan kendiri, empat saringan orang kena tahan (OKT) dan masing-masing dua saringan bagi pengembara dan pra prosedur.
“Kluster Jalan Songsang dilaporkan apabila terdapat penularan wabak yang bermula di tempat kerja dan hasil saringan kontak rapat mendapati 10 individu positif Covid-19 manakala saringan ke atas 114 individu lagi dalam kluster tersebut mendapati 15 kes baharu berjaya dikesan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, kesemua daerah mencatatkan pertambahan kes dan Kuantan masih direkodkan berada di tangga teratas di negeri ini, sebanyak 100 kes.
“Pertambahan kes Covid-19 diikuti dengan daerah Temerloh (33 kes), Jerantut (30 kes), Maran (12 kes), Bentong (lapan kes), Raub (enam kes).
“Bagi Rompin dan Cameron Highlands tiga kes setiap daerah, Pekan dan Lipis masing-masing merekodkan dua kes dan Bera hanya satu kes dilaporkan,” katanya.