Covid-19: Keberkesanan Ivermectin belum diiktiraf antarabangsa - Utusan Malaysia

Covid-19: Keberkesanan Ivermectin belum diiktiraf antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan negara menegaskan, keberkesanan ubat jenis Ivermectin untuk merawat jangkitan Covid-19 belum diiktiraf dalam bidang perubatan antarabangsa.

OIeh demikian, mereka menggesa kerajaan segera mengeluarkan larangan penjualan produk Ivermectin di pasaran tempatan.

Dua NGO itu, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan  Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu berkata, larangan itu perlu dibuat segera kerana tiada bukti saintifik produk tersebut mampu menghalang jangkitan Covid-19 terhadap seseorang individu.

“Malah, keberkesanan Ivermectin sebagai produk mencegah jangkitan Covid-19 belum mendapatkan pengiktirafan dalam dunia perubatan antarabangsa.

“Jadi, kami bimbang sekiranya orang awam masih percaya bahawa produk ini adalah ubat bagi mengelak dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai tidak mengambil Ivermectin sebagai alternatif untuk mengubati dan mencegah daripada dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, beberapa pertubuhan kesihatan dunia termasuk Agensi Perubatan Eropah (EMA) tidak memberi pengiktirafan terhadap produk terbabit sebagai salah satu ubat merawat virus Covid-19.

Dalam pada itu, dua persatuan itu mempersoal tindakan beberapa ahli politik serta sebuah NGO yang meminta kerajaan mengiktiraf Ivermectin.

Menurutnya, tindakan dua pihak tersebut akan mengelirukan orang ramai memandangkan majoriti pakar perubatan tempatan tidak mengiktiraf penggunaan produk terbabit.

“Kami harap orang ramai tidak menggunakan Ivermectin, sebaliknya mengambil vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini.

“Vaksin ini terbukti keberkesannya dalam menurunkan kes Covid-19 tahap bahaya mengikut rekod yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN