PUTRAJAYA : Badan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertimbang untuk mengkhususkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi warga asing di Lembah Klang sekali gus mengelak isu kesesakan seperti dilaporkan sebelum ini.
CITF menerusi kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, pertimbangan itu turut mengambil kira jenis bahasa digunakan warga asing supaya penterjemah dan sukarelawan dapat disediakan bagi melancarkan proses vaksinasi.
Menurutnya, CITF turut bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.
“Pada masa sama, CITF juga telah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi dapat dielakkan.
“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, telah dapat dikurangkan hari ini,” katanya.
Katanya, CITF akan terus memantau perkara ini dan mengambil tindakan bersesuaian dari semasa ke semasa.
Berhubung isu kesesakan di PPV KLCC seperti yang dilaporkan media semalam, CITF berkata, segala tindakan perlu sudah diambil bagi mengatasi perkara itu hari ini.
Menurutnya, kesesakan yang dilaporkan di media semalam terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin ini telah hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan.
“Ramai yang hadir di waktu pagi, walhal janji temu adalah di waktu petang.
“Selain itu, kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.
“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran,” katanya.
Katanya, terdapat juga jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa. – UTUSAN ONLINE