Bukit Malut: Tunggu laporan pemilik tanah sebelum bertindak - Utusan Malaysia

Bukit Malut: Tunggu laporan pemilik tanah sebelum bertindak

LOKALITI Bukit Malut kini mencatatkan peningkatan tinggi penularan Covid-19 berikutan keengganan penduduknya untuk disaring walaupun berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi mendakwa belum menerima laporan rasmi daripada pemilik tanah di Bukit Malut di sini mengenai penerokaan dan pembinaan rumah baharu di penempatan haram di kawasan tersebut sejak awal tahun ini.

Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, pemilik tanah di kawasan penempatan haram itu melibatkan tanah milik kerajaan negeri, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).

Menurutnya, pemilik tanah terlibat sepatutnya menjaga tanah tersebut kerana geran telah diberikan kepada mereka sebagai pemilik tanah.

“Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi tidak boleh mengambil tindakan terhadap penduduk yang menerokai dan membina rumah di kawasan itu kerana tiada laporan rasmi diterima daripada pemilik tanah berkenaan.

“Contohnya pihak PKB, setakat ini, kita dapati PKB tidak pernah buat laporan ada pencerobohan di tanah miliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan air mineral dan pelitup muka bagi pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi di sini hari ini.

Saiful Anwar berkata, setakat ini, pihaknya masih tidak mengambil tindakan terhadap penduduk di penempatan haram di Bukit Malut yang didakwa menceroboh tanah milik kerajaan negeri atas dasar kemanusiaan, terutamanya ketika pandemik Covid-19.

“Sekiranya tindakan merobohkan rumah-rumah di penempatan haram itu, kerajaan perlu menyediakan kawasan penempatan baharu kepada penduduk terlibat,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 2 Julai lalu melaporkan penduduk Myanmar yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut di pulau peranginan ini semakin ‘besar kepala’ selepas mereka dikesan terus menerokai kaki bukit di kampung itu sejak awal tahun ini.

Penerokaan tersebut bertujuan untuk membina rumah baharu, walaupun kerajaan negeri telah mengumumkan penempatan tersebut akan dipindahkan ke lokasi baharu.

Walaupun kerajaan negeri mengumumkan penempatan itu akan dipindahkan ke lokasi baharu namun kumpulan terbabit masih membina rumah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN