fbpx

Bukan pendakwah atau aktivis. Saya penghibur – Douglas Lim

ADA yang baru mengenali Douglas Lim? Jika ada, salam perkenalan diucapkan buat peminat-peminat baru yang mungkin cuma mengenalinya sejak pandemik melanda negara dan keakuran mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dengan duduk berdiam di rumah.

Bukan apa, sejak tempoh PKP tahun lalu, Douglas dilihat antara selebriti dan pelawak yang aktif menemani hari bosan anda menerusi jenaka-jenaka satira bersahajanya yang dikongsikan dalam media sosial.

Mendapat sambutan hangat, Douglas sebenarnya dianggap berani melontarkan suara rakyat menerusi komedi berbentuk parodi yang berjaya menarik perhatian ramai selain mendapat sokongan penonton.

Pun begitu, ada yang berpendapat, kelantangan Douglas itu kelak mungkin akan memakan diri memandangkan kebelakangan ini pelawak terkemuka ini kerap menjadikan isu semasa dan politik sebagai sebahagian daripada bahan komedinya.

Berpeluang berbual dengan pelawak yang popular dengan gelaran Raja Parodi ini, Douglas berkongsi pandangan peribadinya menerusi populariti yang diraih dalam media sosial kini.

Mendapat perhatian ramai menerusi penghasilan video-video parodi di Instagram dan YouTube, macam mana Douglas boleh ada idea tersebut?
Cukup untuk saya katakan, sebagai seorang penghibur, saya memang seronok dan suka kalau apa yang dihasilkan dan dipersembahkan kemudiannya mendapat sambutan. Ini jugalah tujuan saya buat semua bahan kandungan seperti itu. Tiada lain, supaya orang yang tengok boleh gelak dan gembira.

Tapi hendak buat sesuatu lawak parodi itu bukan mudah juga bukan? Apa komen Douglas?

Saya rasa ia adalah satu ilham yang datang secara semulajadi. Mungkin inilah yang dikatakan bakat itu. Kalau orang tak beri sambutan pada video-video itu pun, terus-terang, saya tetap akan buat dan muat naik juga. Memang naluri dan keinginan saya suka buat lawak-lawak bodoh macam ini. Agaknya memang otak saya ini sudah diprogram macam itu. Kalau ada yang beri sambutan, itu satu bonus buat saya.

Ada setengah pendapat mengatakan agak bahaya apatah lagi orang seni menyentuh isu-isu semasa dan jadikan bahan ketika membuat lawak. Boleh komen mengenai hal ini?
Ada orang panggil komedi saya ini sebagai satira atau parodi. Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil intubated metaphore yang mana, saya akan ambil sesuatu isu semasa yang sedang diperkatakan, yang sedang tular di minda rakyat atau hangat, tapi ditukarkan kepada konteks atau situasi berbeza. Perasaan terhadap isu yang diterapkan itu sama, tapi konteks yang saya persembahkan sebagaimana yang orang tonton itu, berbeza.

Jika ia dianggap terlalu sensitif bagaimana?
Saya tak main langgar sahaja. Kalaulah saya betul-betul buat sebagaimana apa yang asal dalam kepala saya sebelum hasilkan persembahan yang sudah disunting itu, saya rasa ia akan lebih membuatkan orang atau mana-mana pihak boleh tersinggung. Sebab dalam komedi ini, akan ada sahaja orang yang boleh dan tidak boleh menerima sesuatu jenaka itu. Sebab itu dalam apa-apa pun, kita tetap kena berhati-hati. Bagi saya, dalam jenaka yang dihasilkan, seboleh-bolehnya saya akan memaksimumkan isi hiburan. Mesej kalau ada, adalah sebab apa yang saya ketengahkan bukan mesej, tapi unsur hiburan. Saya memang akan fokus pada unsur ini sebab saya seorang penghibur. Bukannya seorang pendakwah atau aktivis.

Betulkah kalau buat sesuatu penceritaan, genre komedi ini adalah yang paling senang menarik penonton? Sebab itukah Douglas kerap buat lawak dalam media sosial?
Tak kisah genre apa pun, kalau dilakukan dengan baik ia mesti akan dapat sambutan. Kalau tengok pada kebanyakan video yang tular, ada lima jenis semuanya. Satu, ada nilai kekaguman, yang tunjuk bakat menyanyi atau menari. Kedua, tragedi, video bencana dan sebagainya. Ketiga, ada elemen sentuhan atau beli jiwa, keempat, kejutan dan kelima komedi. Apa yang saya buat ini cuma salah satu daripada apa yang orang suka tengok. Itu sahaja.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!