GEORGETOWN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) disaran membuka lebih banyak sektor ekonomi khususnya pelancongan domestik memandangkan negara kini mencapai 2.74 juta penduduk atau 8.6 peratus yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, setakat kelmarin.
Timbalan Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, perkara itu memberikan indikasi yang mana sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini bakal menjadi kenyataan.
“Dengan perkembangan positif ini, MKN harus mempertimbang untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi khususnya industri pelancongan domestik kepada penduduk yang melengkapkan penerimaan dua dos vaksin.
“Kelonggaran ini akan merangsang serta merancakkan kembali perkembangan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merangkumi empat fasa yang akan beralih secara berperingkat.
Menurut Shaik Faridhudheen, individu yang melengkapkan dua dos vaksin juga harus dibenarkan untuk makan dan minum di dalam premis restoran bagi membantu peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kepatuhan semua prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan imbasan aplikasi MySejahtera harus diteruskan walaupun individu berkenaan telah lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Tambahnya, sekiranya MKN memberi kelonggaran untuk sektor-sektor lain seperti pelancongan domestik beroperasi sejurus negara mencapai 15 peratus penduduk yang melengkapkan penerimaan dua dos vaksin iaitu hampir lima juta orang, ia mampu menjana pendapatan untuk mengembangkan ekonomi negara. – UTUSAN ONLINE










