GEORGETOWN: Cubaan satu sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan lori penghantaran buah kelapa gagal selepas polis merampas heroin 23.85 kilogram (kg) bernilai RM265,000 dalam dua serbuan berasingan di negeri ini dan Perak, semalam.
Dalam serbuan itu, empat lelaki iaitu tiga daripadanya berusia 26 hingga 32 tahun ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada pukul 10.05 pagi manakala seorang lagi lelaki berusia 35 tahun ditahan di Rungkup, Bagan Datok, Perak, pukul 4 petang hari yang sama.
Ketua Jabatan Siastaan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Assisten Kommisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika ditahan di SJR Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, polis menemukan 53 bungkusan dadah jenis heroin di dalam kabin lori berkenaan.
“Tiga suspek yang ditahan merupakan pemandu dan dua kelindan lori.
“Siasatan mendapati selain menghantar bekalan kelapa dari Bagan Datuk ke negeri ini, mereka sebenarnya turut membawa bekalan dadah dari Perak untuk dijual di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata, heroin seberat 23.85 kg bernilai RM265,000 yang dirampas itu ditemukan disorok di dalam ruang kabin lori dan ketika ditahan ahli sindiket itu baru menghantar kelapa di sekitar Georgetown.
“Selepas menghantar bekalan kelapa berkenaan, mereka mahu menghantar dadah terbabit kepada ahli sindiket di Perai pula. Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan tersebut sejak April lalu,” katanya.
Tambah beliau, empat lelaki yang ditahan itu berperanan sebagai penghantar bekalan dadah dengan menerima bayaran RM1,000 bagi setiap perjalanan dan kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah selain turut positif dadah.
Dalam perkembangan lain, Mustafa Kamal berkata, polis turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki termasuk pelajar universiti awam berusia 22 hingga 46 tahun.
Dalam beberapa serbuan di Gelugor dan Georgetown pada 16 dan 17 Julai lalu itu jelasnya, polis turut merampas ganja serta heroin bernilai RM83,175.
“Polis bertindak menahan sebuah lori di tepi jalan di kawasan Gelugor pada 6.30 petang pada 16 Julai lalu dan menahan tiga lelaki yang sedang memunggah ketulan mampat ganja seberat 24.6 kg untuk di bawa ke sebuah pangsapuri di situ.
“Polis memeriksa kediaman tersebut dan menemuikan 1.9 kg heroin bersama 16.8 gram ganja dan kemudiannya menyerbu sebuah lagi pangsapuri di kawasan sama dan merampas RM7,000 iaitu duit hasil kegiatan pengedaran dadah,” katanya.
Tambah beliau, polis turut menyita sebuah Perodua Myvi sebelum menahan suspek keempat dan kelima di kawasan Georgetown.
“Kelima-lima suspek positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah, mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.
Sementara itu, Mustafa Kamal berkata, polis berjaya menyita 66 barangan kemas bernilai RM284,085 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam siri serbuan di Seberang Perai, dekat sini pada 14 Julai lalu.
“Semua barangan kemas disimpan di sebuah syarikat peti keselamatan di Seberang Perai sejak tiga tahun lepas dan ia dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah sindiket tersebut.
“Ekoran rampasan barang kemas tersebut menjadikan nilai sitaan kes itu ialah RM1.5 juta termasuk wang tunai RM790,000, sembilan buah kenderaan dan barangan kemas,” katanya.