JOHOR BAHRU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 12 Ogos ini perlu membincangkan pelan pemulihan Johor dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani pandemik Covid-19, khususnya di negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, perkara itu perlu dibahaskan dengan terperinci bagi memastikannya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Johor mempunyai seramai 56 ADUN dan saya yakin mereka layak serta boleh memberi pandangan serta buah fikiran untuk diimplimentasi.
“Malah sebahagian daripada mereka (pembangkang) juga pernah berada dalam kerajaan sebelum ini, termasuk saya sendiri pernah menjadi Menteri Besar Johor. Justeru perkara ini perlu dibahaskan dengan lebih teliti,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan lembu korban kepada masjid dan surau sekitar kawasan Kempas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, di sini hari ini.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua ADUN bersatu hati untuk kembali bersidang pada 12 Ogos ini demi kepentingan rakyat dan negeri Johor. – UTUSAN ONLINE










