GEORGETOWN: Seramai lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang bertarung hampir 15 minit sebelum berjaya menangkap seekor ular tedung selar di kawasan reban ayam di Sungai Emas, Batu Ferringhi di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Unit Tanjung Bunga, Leftenan (PA) Mohd. Rozani Zauniddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.50 tengah hari daripada orang awam yang menemukan ular berkenaan di kawasan reban ayam itu.
Katanya, usaha menangkap ular sepanjang hampir empat meter itu sukar berikutan reptilia berkenaan bertindak agresif dan cuba memasuki kawasan belukar.
“Kita berdepan cabaran kerana ular tedung ini sangat garang, malah cuba menyerang anggota yang menjinakkannya.
“Anggota terpaksa menunggu hampir 15 minit bagi memastikan reptilia itu tenang sebelum dapat menarik dan menangkapnya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, reptilia seberat hampir lapan kilogram itu kemudian dibawa ke Pejabat APM di Tanjung Bunga dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri.










