Bertanggungjawab, letak jawatan segera - Mohamad - Utusan Malaysia

Bertanggungjawab, letak jawatan segera – Mohamad

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mereka yang berkaitan dalam pembatalan Ordinan Darurat dengan membelakangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu meletak jawatan dengan segera.

Desakan tersebut dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyifatkan institusi Parlimen telah tercemar dengan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut yang juga titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen Malaysia.

Jelas beliau, tindakan kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah mengundang murka Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka telah tidak melaksanakan titah Seri Paduka agar cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

“Tindakan kerajaan dalam perkara ini adalah tidak berparlimen, tidak berperlembagaan dan telah meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya. Mereka yang berkaitan mesti mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN