KEMAMAN: Polis mengesan cubaan individu membuat laluan tikus baharu semata-mata untuk meloloskan diri dari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bandi, di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikesan awal pagi ini, dalam tempoh kurang 24 jam PKPD berkenaan dikuatkuasakan.
“Bagaimanapun, kita menyekat kembali laluan tersebut, malah kawalan dan pemantauan terus diperketat di setiap lorong berkenaan dengan kekuatan 28 anggota polis pada setiap masa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hanyan berkata, pihaknya dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut memasang penghadang jalan konkrit dan kawat duri di empat laluan keluar masuk di kawasan tersebut di samping mengadakan satu sekatan jalan raya (SJR).
PKPD Mukim Bandi yang membabitkan Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 berkuatkuasa bermula semalam hingga 3 Ogos ini dengan melibatkan lebih 10,000 penduduk daripada kira-kira 1,500 buah rumah. – UTUSAN ONLINE










