Bekas polis era darurat terharu terima kunjungan Ayob Khan - Utusan Malaysia

Bekas polis era darurat terharu terima kunjungan Ayob Khan

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Suliman A. Hakim yang terlantar sakit pada Program Op Bantu di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Seorang bekas polis bantuan era darurat, Suliman A. Hakim terharu menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menyampaikan bakul makanan sempena Op Bantu di Blok 43, Taman Cendana, di sini hari ini.

Suliman, 85, berasa bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin terhadapnya yang sudah berpuluh tahun meninggalkan badan penguat kuasa itu.

“Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan kegembiraan saya melainkan terima kasih kerana ziarah saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini. 

Suliman pernah berkhidmat selama lima tahun di Tapah dan Kampar, Perak sebelum bersara di Cameron Highland, Pahang pada 1959.

Isterinya, Sulam Ahmad, 61, berkata, kehadiran Ayob Khan di rumah mereka yang menyampaikan sumbangan bakul makanan itu memberi makna kepada mereka sekeluarga.

Katanya, suaminya kini hanya terlantar sejak mengalami sakit lutut yang teruk dan hanya mampu baring sejak Ogos tahun lalu.

Tambahnya, ketika dirujuk ke hospital, doktor menyarankan untuk menjalani pembedahan memasang tempurung lutut tetapi suaminya tidak mahu berbuat demikian. 

“Saya dan anak kurang upaya (OKU) lembam, Siti Sarah, 21, bersama-sama menguruskan dia menjalani rutin harian seperti mandi, makan serta memakaikan lampin pakai buang.

“Selepas suami bersara, dia pernah bekerja sebagai tukang kebun di sekolah, manakala saya pula bekerja sebagai pengurus stor di sebuah pasar raya. Kami ada simpanan, itulah yang digunakan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis daerah bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengesan mereka yang betul-betul layak terima bantuan dalam Op Bantu.

Beliau berkata, setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dibekalkan 300 bakul makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan yang terdiri daripada keluarga daif, orang kelainan upaya (OKU) serta terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN