Bayaran tambahan GKP 3.0 disalurkan mulai hari ini  - Utusan Malaysia

Bayaran tambahan GKP 3.0 disalurkan mulai hari ini 

TENGKU zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak RM500 juta bayaran Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) melalui Pakej PEMERKASA+  disalurkan secara berperingkat kepada sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro layak mulai hari ini. 

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu melibatkan tambahan RM500 kepada bayaran RM1,000 yang dikreditkan ke akaun penerima pada pertengahan Jun lalu. 

“Pembayaran tambahan ini dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan di dalam sistem GKP bagi membantu aliran tunai mereka semasa tempoh yang masih mencabar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tengku Zafrul berkata, bayaran tambahan GKP 4.0 di bawah Pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pula akan disalurkan kepada penerima GKP sedia ada dan penerima baharu pada bulan September dan November nanti, masing-masing sebanyak RM500. 

Jelasnya, bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP sebelum ini, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai ini.

Beliau turut memberitahu, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion. 

“Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro akan meringankan beban mereka terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi ketika ini,” katanya.

Selain daripada GKP, Tengku Zafrul berkata, banyak lagi inisiatif yang boleh dimanfaatkan PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing. 

Katanya, ia termasuklah dana pinjaman mudah PKS mikro yang keseluruhannya berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat, SME Corp, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga. 

Tambahnya lagi, peruntukan dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro juga tersedia di bawah Bank Negara Malaysia berjumlah RM8.6 bilion termasuk dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion lagi menerusi Pakej PEMULIH.  

Maklumat lanjut mengenai dana-dana ini serta bantuan-bantuan Kerajaan yang lain boleh didapati di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya