Bank Islam terima lebih 100,000 permohonan moratorium - Utusan Malaysia

Bank Islam terima lebih 100,000 permohonan moratorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menerima sebanyak 108,936 permohonan moratorium daripada pemegang akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak hampir RM12.63 bilion sejak Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) dilaksanakan pada 7 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion manakala 90 permohonan daripada pelanggan perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan hampir RM29.43 juta.

Katanya, BPP menawarkan pilihan moratorium selama enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada pelanggan yang layak dengan permohonan dibuka kepada pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta perusahaan mikro dan PKS yang terjejas akibat pandemik semasa.

“Kami mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara dan industri perbankan Islam dalam menangani impak Covid-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat. Bantuan pembayaran ini memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

“Bank sentiasa proaktif untuk berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain BPP, Bank Islam turut menawarkan program penjadualan dan penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan.

Di samping itu, perusahaan mikro dan PKS yang layak juga dapat menikmati pelan Pembiayaan Pelancongan Penjana untuk pelanggan dalam sektor pelancongan dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan.

Pada masa sama, Bank Islam telah melancarkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) untuk PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi supaya perniagaan yang dimiliki lebih cekap.

Bank Islam turut menawarkan Program BIC-i Balance Conversion (BBC) untuk pemegang kad kredit yang memerlukan sokongan kewangan sementara.

Ahli Kad Kredit-i Bank Islam yang layak boleh menukarkan amaun prinsipal untuk baki penyata tertunggak kepada pelan ansuran di bawah kemudahan pembiayaan bertempoh pada kadar keuntungan efektif 13 peratus setahun untuk tempoh 36 bulan.

Mohd. Muazzam bagaimanapun memberi jaminan kepada pelanggan bahawa rekod dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka tidak akan terjejas sekiranya memilih untuk mendapatkan bantuan bayaran.

“Bank Islam mengakui bahawa pandemik ini memberi kesan berbeza kepada setiap pelanggan kami. Tambahan lagi, perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan akan turut menjejaskan aktiviti ekonomi. Kami komited untuk menyokong daya tahan pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan mereka terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini.

“Bank Islam turut menggesa pelanggan yang memerlukan sokongan untuk menghubungi kami dan menyatakan pilihan bantuan yang diperlukan.

Jangan bimbang, kakitangan Bank Islam amat dedikasi dan bersedia menjawab persoalan anda pada bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya