KUALA TERENGGANU: Proses vaksinasi membabitkan penduduk di dua kawasan di Pahang tidak terjejas walaupun berdepan musibah banjir baru-baru ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa makluman mengenai sebarang gangguan tersebut.
“Untuk negeri di pantai timur, perbincangan sudah dibuat untuk kita mencapai imuniti berkelompok selewat-lewatnya pada Oktober ini, sebelum ketibaan musim tengkujuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kondo Rakyat di Kuala Ibai di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Seramai 100 keluarga daripada keseluruhan 685 yang menghuni di perumahan itu menerima sumbangan bakul makanan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, operasi pusat pemberian vaksin (PPV) terutama jenis mega di Kuala Lumpur akan terus beroperasi pada Hari Raya Aidiladha.
“Bagi memastikan rentak vaksin tidak terganggu jadi kita usahakan supaya PPV terus dibuka tetapi tidak dinafikan akan berlaku penurunan dalam suntikan harian, namun keadaan itu sudah diatasi dengan jumlah (suntikan harian) yang tinggi pada masa ini,” katanya.










