KUALA LUMPUR: Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.
Dalam hal ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi kebiasaan baharu global.
“Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet atau dengan izin pre-budget statement termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan bajet tahunan,” katanya ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.
Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dijangka akan dibentangkan pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti.










