GEORGETOWN: Sejak berusia 16 tahun lagi seorang warga Malaysia yang bermastautin di Madinah, Asmaa Nadhirah Mohd. Nasaruddin telah berazam untuk menunaikan ibadat haji.
Siapa sangka, selepas hampir sembilan tahun menanti dan berdoa, pada usia 25 tahun Asmaa Nadhirah yang berasal dari Selangor bakal menunaikan rukun Islam kelima itu tidak lama lagi.
Ibu kepada seorang anak berusia setahun itu berkata, dia hanya mampu memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas mengetahui impiannya untuk mengerjakan ibadat haji akan menjadi kenyataan tahun ini selepas permohonannya diluluskan kerajaan Arab Saudi.
“Syukur atas pilihan Allah SWT ini, saya menanam azam untuk menunaikan ibadat haji pada usia 16 tahun lagi.
“Tahun lepas saya ada juga memohon tetapi tidak ada rezeki lagi memandangkan hanya 1,000 orang sahaja dibenarkan menunaikan haji ketika itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Asmaa Nadhirah berkata, dia akan mengerjakan haji sendirian memandangkan suaminya, Luqmanul Hakim Muhamad Jamil, 26, telah menunaikan ibadat itu pada 2014 dan kerajaan Arab Saudi mengutamakan mereka yang belum menunaikan ibadat haji tahun ini.
Dalam pada itu, Asmaa berkata, persediaan terpenting untuknya serta jemaah lain yang bakal menjadi tetamu Allah SWT adalah persediaan dari segi rohani dan akal.
“Bakal jemaah haji perlu mempelajari manasik haji dan yang berkaitan dengan hukum hakam fikah. Selain itu, perlu juga mengetahui hikmah pensyariatan haji itu sendiri agar dapat menghayati perjalanan haji nanti,” katanya.
Asma berkata, dari sudut spiritual para jemaah haji juga perlu memberbanyakkan taubat dan istighfar serta memperkukuhkan lagi rukun Islam yang lain kerana ibadat haji adalah kemuncak bagi ibadah-ibadah yang lain.
“Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama konsulat Malaysia juga membuat kursus intensif buat bakal jemaah haji selama dua hari.
“Selain itu, ada juga inisiatif persendirian dengan menjemput pelajar doktor falsafah (PhD) Universiti Madinah membuat kelas haji untuk melengkapkan ilmu berkaitan haji kepada bakal jemaah,” katanya.
Tambahnya, dia akan bergerak menuju ke Mekah pada 17 Julai ini dan memohon umat Islam di Malaysia mendoakan agar perjalanan haji jemaah tahun ini dipermudahkan Allah SWT. – UTUSAN










