JERAI: Pengasas syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam, Bismi Empire Sdn. Bhd (Ayam Bismi) mengusahakan dusun durian kira-kira dua hektar di Jerai Geopark di sini semata-mata untuk ‘menjamu’ pekerja mereka.
Menurut Jaffri Ahmadi, beliau dan isterinya, Mazlina Kamarudin membeli dusun berkenaan pada 2014 yang mempunyai pelbagai variasi durian berkualiti atau lebih popular dengan ‘durian kayangan’ seperti Musang King, duri hitam, bantai emas, tekka, udang merah, kancing baju dan chanee.
“Kami tak jual, durian di sini gred A, kalau nak jual orang nak sangat tapi tak apalah. Tuhan bagi rezeki tempat lain dusun ini untuk ‘jamu’ pekerja, kenalan serta rakan-rakan sahaja,” kata Jaffri ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Jaffri, beliau berharap dusun tersebut yang dinamakan sebagai Dusun Laman Bismi dapat mengeratkan silaturahim seluruh warga Ayam Bismi pada setiap kali musim durian.
“Tahun lepas kami berkelah beramai-ramai di sini sambil makan durian, tahun ini buah masak ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0 tidak dapat nak berkumpul ramai-ramai cuma agihkan di pejabat untuk semua makan,” katanya.
Sementara itu, Mazlina berkata, beliau ingin meneruskan tradisi lama berkumpul dan menikmat raja buah itu di dusun seperti orang dulu-dulu dalam kalangan pekerjanya.
“Kami harap tahun depan pandemik beransur pulih dan semua boleh berkumpul termasuk jemput pelanggan, ejen serta stokis Ayam Bismi sambil makan durian,” kata Mazlina.
Dalam pada itu, menurut salah seorang pekerjanya, Nurfawiezatul Azna Abdul Nasir, 28, yang mengakui ‘hantu durian’, dia menghargai layanan majikannya itu yang disifatkan sukar ditemui.
“Durian-durian yang kami makan ini daripada berkualiti tinggi kalau nak beli memang mahal sangat dan bila ada majikan yang sudi jamu kami percuma seperti ini tentu rasa sangat beruntung,” katanya. – UTUSAN