Anwar dicabar dedah tawaran kepada Ahmad Zahid dan Najib - Utusan Malaysia

Anwar dicabar dedah tawaran kepada Ahmad Zahid dan Najib

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mendedahkan tawaran kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kedua-dua pemimpin itu sanggup mensabotaj perpaduan parti-parti Melayu untuk digantikan dengan jajaran baharu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, hal ini ekoran pendedahan terbaharu Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa Ahmad Zahid mempunyai dendam peribadi terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kedua-dua iaitu Ahmad Zahid dan Najib sedang menghadapi kemungkinan besar masuk penjara. Mungkinkah Ahmad Zahid dan Najib pernah minta Muhyiddin campur tangan urusan mahkamah tapi beliau (Muhyiddin) tak mahu?

“Mungkinkah ketegasan integriti Tan Sri (Muhyiddin) mempertahankan kebebasan mahkamah merupakan sebab sebenar kenapa Ahmad Zahid dan Najib beria-ia menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Nazri sebelum ini mendakwa Ahmad Zahid berdendam dengan Muhyiddin kerana enggan menolongnya dalam menyelesaikan pertuduhan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Dakwa Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas itu, tindakan Ahmad Zahid menggunakan Majlis Tertinggi UMNO untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan disebabkan perbicaraan kesnya yang semakin hampir dijatuh hukuman dan sudah kesuntukan masa.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan satu matapetaka besar jika dakwaan itu benar apabila Ahmad Zahid dan Najib menggunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri mereka sendiri.

“Saya sering katakan bahawa UMNO ialah parti lama yang mempunyai ramai ahli akar umbi yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Jika agenda kita ialah agama, bangsa dan negara, maka agenda kita sama.

“Tetapi adakah Ahmad Zahid dan Najib mempergunakan keikhlasan UMNO untuk melepaskan diri mereka sendiri sahaja? Kalau benar, ini merupakan satu malapetaka besar,” dakwanya.

Utusan Malaysia masih menunggu respons ketiga-tiga pemimpin berkenaan mengenai dakwaan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.