PUTRAJAYA: Peningkatan jumlah kes positif Covid-19 terutama di Lembah Klang sehingga merekodkan jumlah tertinggi 9,180 kes semalam sehingga orang ramai mempersoalkan apa sudah terjadi biarpun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ia sekali gus mengundang kekecewaan dengan kebanyakan orang terkurung di rumah tetapi kes terus melonjak dengan Selangor menjadi penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 4,400, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,271 kes.
Menjelaskan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelaksanaan PKPD membolehkan aktiviti pengesanan di kawasan yang diisytiharkan wabak giat dilakukan bagi mengawal dan menghentikan penularan jangkitan.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pengesanan, pencarian kes dan membuat ujian terhadap semua yang berada dalam kawasan dikenakan PKPD terutama mereka yang tidak bergejala dapat dikesan dan dirawat atau diasingkan supaya ia tidak menjangkiti orang lain.
“Sebaik sahaja dikenal pasti, mereka yang positif diasingkan dan dirawat mengikut kategori jangkitan dengan kategori empat dan lima akan dirawat di hospital.
“Jika ujian pengesanan dan saringan tidak dilaksanakan, jangkitan dalam komuniti termasuk yang tidak bergejala tidak dapat dikesan dan dikhuatiri boleh terus merebak serta tidak dapat dirawat,” katanya dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang, malam tadi.
Mengulas lanjut, Adham berkata, kes akan menunjukkan peningkatan sebelum ia turun kerana mereka yang positif sudah diasingkan dan diberi rawatan.
Beliau berkata, pihaknya meningkatkan ujian saringan sejak PKPD dikuatkuasakan di kebanyakan daerah di Selangor dengan merekodkan sebanyak 25,500 ujian di negeri itu dan pelaksanaan ujian itu digandakan pada hari-hari berikutnya.
Beliau berkata, tempoh inkubasi virus adalah selama 14 hari tetapi varian baharu boleh sampai 21 hari, dan sepanjang tempoh itu aktiviti kesihatan awam boleh dilakukan untuk mengesan, mencari dan membuat ujian.
Dalam pada itu, Adham berkata, pihaknya sudah membuat keputusan untuk meningkatkan proses vaksinasi di kawasan diisytiharkan PKPD di seluruh negara selepas individu yang positif diasingkan daripada mereka yang tidak dijangkiti.
“Tempoh PKPD selalunya selama 14 hari. Vaksinasi perlu diberikan secepat mungkin selepas PKPD selesai. Mereka mungkin akan divaksin di kawasan masing-masing atau di pusat yang berhampiran dengan lokaliti itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE