Ahli UMNO tulis surat aduan kepada Lembaga Disiplin perlakuan Presiden - Utusan Malaysia

Ahli UMNO tulis surat aduan kepada Lembaga Disiplin perlakuan Presiden

PENGGUNAAN logo UMNO dalam mana-mana pilihan raya tidak membawa makna jika defisit kepercayaan terhadap parti itu tidak dapat dipulihkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang ahli UMNO, Faizan Mohd. Nor menulis surat kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zulhasnan Rafique bagi mengemukakan aduan terhadap Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  atas pelanggaran dasar dan Perlembagaan parti.

Aduan tersebut berdasarkan laporan berita berhubung pengakuan Ahmad Zahid tentang suara beliau di dalam rakaman perbualan bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah benar. 

Dalam surat aduan itu, Faizan menyatakan, penulisan di dalam artikel berita itu membuktikan bahawa Ahmad Zahid telah menipu kepada seluruh ahli UMNO kerana beliau sebelum ini menafikan penglibatannya di dalam rakaman audio perbualan telefon yang tular sejurus selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 berakhir. 

“Beliau juga menipu seluruh ahli UMNO apabila menyatakan akan meminta pegawainya membuat laporan polis berhubung perkara tersebut. Namun begitu sehingga hari ini tiada sebarang laporan polis dibuat di pihaknya,” katanya dipetik menerusi surat itu hari ini.

Faizan turut meminta Lembaga Disiplin UMNO merujuk kepada pendedahan yang dibuat Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bertarikh 6 Januari lalu yang mendedahkan bahawa Ahmad Zahid menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9. 

Katanya, perkara itu terkandung  dalam surat yang dibawa Anwar kepada Istana Negara seperti yang didedahkan Annuar kepada media ketika itu. 

Di dalam surat itu, katanya, antara yang disebut Ahmad Zahid ialah mengenai usaha menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar. 

“Tindakan Ahmad Zahid itu ternyata membelakangkan keputusan dan pendirian parti yang menetapkan untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan juga ‘NO Anwar, NO DAP’. 

“Ahmad Zahid juga telah berbohong di dalam isu ini apabila beliau menafikan perkara ini, sedangkan dalam masa yang sama segala tindak-tanduk yang dibuat beliau membuktikan yang sebaliknya,” katanya.

Faizan berkata, tindak-tanduk Ahmad Zahid bukan sahaja menipu ahli-ahli parti, tetapi juga Yang di-Pertuan Agong semata-mata atas sebab kepentingan politik peribadinya merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan hanya tergamak dilakukan pemimpin yang tidak berakhlak. 

Katanya, keadaan ini diburukkan lagi dengan tindakan Ahmad Zahid menggadai maruah UMNO apabila cuba menjalin kerjasama dengan Anwar dan DAP dan secara  jelas bertentangan dengan keputusan PAU dan suara akar umbi parti yang dengan lantang menolak Anwar dan DAP.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah UMNO ia dikhianati oleh Presidennya sendiri dengan cara membelakangkan suara akar umbi, mengenepikan ketetapan PAU, membohongi ahli, menipu Yang Dipertuan Agong dan berpakat dengan musuh semata-mata untuk menyelamatkan tengkuknya sendiri.

“Justeru, saya dengan ini memohon Tan Sri sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat perbuatan salah laku ini yang ternyata melanggar peraturan dan perlembagaan parti lalu mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya ke atas Ahmad Zahid,” katanya. 

Pada masa sama, Faizan menggesa Lembaga Disiplin UMNO supaya menggantung sementara Ahmad Zahid daripada menjalankan tugas sebagai Presiden bagi mengelakkan berlakunya tekanan dan salah guna kuasa Presiden ketika siasatan dijalankan. – UTUSAN ONLINE  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.