PETALING JAYA: Mana-mana ahli Parlimen boleh menyatakan secara terbuka jika ada yang tidak memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia berikutan kenyataan Majlis Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) semalam yang menjelaskan bahawa semua ahli Parlimen menyokong kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Namun tegas Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, ia tidak menjadi masalah sekiranya terdapat ahli Parlimen yang mempunyai pendapat lain daripada kenyataan PNBBC
“Sebenarnya kenyataan itu adalah majoriti ahli Parlimen, kalau ada yang tidak bersetuju, boleh nyatakan secara terbuka. Tidak ada masalah pun.
“Sebab saya boleh pastikan majoriti ahli Parlimen yang menyokong Tan Sri Muhyiddin, saya bercakap sebagai Pengerusi PNBBC, telah menyatakan sokongan secara terbuka sama seperti kenyataan yang dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.
Ahli-ahli Parlimen BN semalam mengumumkan sepakat kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.
Menurut Ahli-ahli Parlimen BN dalam satu kenyataan, pendirian itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin.
“Apa yang menjadi keutamaan ahli-ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN), dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, ia mendapat perhatian Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang menafikan kenyataan itu dengan menjelaskan beliau tidak pernah bersetuju untuk melanggar arahan MT yang membuat keputusan menarik sokongan kepada Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE