MELAKA: Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Abdul Aziz Jaafar menafikan tuduhan salah guna kuasa yang didakwa dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Idris Haron.
Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dikatakan berbuat demikian melalui laporan disiarkan sebuah portal, berkenaan tindakan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan orang ramai berkumpul di sebuah pusat snuker di Cheng di sini, pada malam Sabtu lalu.
Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Aziz mendakwa, tuduhan yang dibuat Idris adalah tidak berasas sama sekali.
Katanya, beliau yakin kenyataan Idris merujuk kepada dirinya dan turut mengakui berada di pusat snuker tersebut tetapi lokasinya adalah di Tanjong Minyak, bukannya di Cheng seperti didakwa.
“Memang benar saya bersalah apabila melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul dalam penjarakan fizikal satu meter di pusat itu kira-kira pukul 6.00 petang.
“Saya sendiri telahpun dikompaun sebanyak RM1,500 atas kesalahan tersebut, tetapi dakwaan Idris mengatakan saya menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan aktiviti berkumpulan itu memang satu tuduhan cuba memalukan saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Kling di sini, hari ini.
Tambah Abdul Aziz lagi, dakwaan tersebut juga dianggapnya merupakan satu fitnah bertujuan memalukan, menjatuhkan reputasi dan memasukkan dirinya dalam skandal awam.
Dalam pada itu, Idris ketika dihubungi Utusan Online berkata, beliau enggan melayan atau ambil peduli laporan polis yang dibuat Abdul Aziz terhadapnya.
“Dalam kenyataan saya di Ahad lepas, tidak pun menyebut nama Ahli Majlis MBMB yang terlibat dan mengapa beliau melatah?,” katanya ringkas. – UTUSAN ONLINE










