PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan sejuta dos vaksin Pfizer bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka bertitah sumbangan itu jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik Covid-19 dan memperhebat lagi PICK,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sejuta bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menerusi penerbangan Raya Airways pada jam 8.10 pagi kelmarin, sehari selepas sambutan ulang tahun ke-245 kemerdekaan Amerika Syarikat.
Sumbangan ini adalah sebahagian daripada 80 juta dos yang dijanjikan oleh Presiden AS, Joe Biden kepada negara-negara maju dan membangun.
Kenyataan Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan AS di dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin ini.
“Menjunjung titah Seri Paduka, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan terima kasih Seri Paduka kepada Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian McFeeters di atas sumbangan ini,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Seri Paduka mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – UTUSAN










