fbpx

Agong amat dukacita Ordinan Darurat batal tapi belum dapat perkenan

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Antara lain, Seri Paduka berdukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu berhubung cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen, bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran Perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undnag-undang.

“Perkara 150 (2B) dibawa dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka.

“Justeru, Seri Paduka menegaskan bahawa kenyataan Menteri di Parlimen adalah tidak tepat dan telah mengelirukan semua ahli Dewan Rakyat,” katanya di sini hari ini.

Pada 26 Julai lalu, Takiyuddin menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, masih belum ada warta baharu yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.

Kelmarin, Takiyuddin enggan menjawab pertanyaan yang disuarakan berulang kali oleh ahli Parlimen sama ada Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula menegaskan bahawa Takiyuddin hanya dapat memberi penjelasan pada Isnin minggu depan namun pembangkang merasakan ia membuang masa dan menjadi perbincangan akademik.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka selaku Ketua Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak khususnya yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka.

“Seri Paduka juga menegaskan semua ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat dan negera pada sidang Parlimen yang kini berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Untuk rekod, enam Ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]; Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif] dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI