PUTRAJAYA: Kuasa perundangan Persekutuan terletak hak pada Parlimen iaitu terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua buah Majlis, Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, bagaimanapun, Ordinan di bawah Perkara 150 (2B) boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja ketika keadaan terdesak, dan hendaklah dibentangkan kemudiannya di hadapan kedua-dua buah Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Menurut beliau, apabila Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa penggubalan ordinan, Seri Paduka bertindak sebagai pemegang kuasa legislatif.
“Justeru, jika ada dakwaan kononnya ordinan darurat boleh digubal mahupun dibatalkan di dalam atau di luar Parlimen ia bercanggah dengan peruntukan Perkara 44,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Ahmad Fauzi berkata, prinsip pemisahan cabang kuasa sebagai struktur asas Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya (2017) memelihara batasan bidang kuasa legislatif, eksekutif dan Kehakiman masing-masing.
Beliau menjelaskan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai entiti Parlimen membolehkan dalam keadaan khas yang dibenarkan oleh undang-undang, Seri Paduka Baginda bersendirian bertindak sebagai Parlimen.
Secara amalannya, kata beliau, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu berangkat ke dalam atau bersemayam di dalam dewan atau kamar Parlimen untuk menandatangani perkenan kepada instrumen proklamasi, ordinan mahupun rang undang-undang di bawah Perkara 150(2B) dan (3) begitu juga Perkara 66 dan Perkara 159.
“Pada hakikatnya, ordinan boleh dibatalkan atau diungkaikan hanya oleh Parlimen. Suatu ordinan boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau diungkaikan oleh dua buah Dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara seperti termaktub di bawah Perkara150 (3).
“Jika tidak dibatal atau diungkai lebih awal, maka suatu ordinan itu boleh luput apabila tamat tempoh enam bulan selepas tarikh darurat berakhir,” katanya.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Kegagalan kerajaan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu mengundang krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN ONLINE