KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta penjelasan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tentang 12 doktor kontrak yang diambil keterangannya oleh pihak polis sehingga pukul 3.45 pagi tadi.
Menurut Fahmi, tindakan itu bertentangan dengan kenyataan Menteri Kesihatan itu yang sebelum ini menjelaskan tidak ada tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam mogok kerja Hartal Doktor Kontrak.
“Semalam Menteri Kesihatan berkata tidak ada tindakan kepada doktor kontrak walaupun keluar berdemonstrasi kerana mereka berhak buat demikian. Tetapi menurut laporan sebuah portal berita,
polis telah mengambil keterangan mereka pada pukul 3.45 pagi tadi dengan merakam percakapan 12 doktor di MAEPS, Serdang.
“Jadi saya minta penjelasan adakah kenyataan menteri itu bagi seluruh kerajaan atau hanya Kementerian Kesihatan atau sebahagian kerajaan, kenapa masih ada tindakan kepada doktor yang telah keluar?” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Peguam Asheeq Ali yang mewakili kumpulan itu dilaporkan berkata, doktor, jururawat dan petugas perubatan lain di pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS Serdang disoal siasat oleh polis.
Ini selepas tindakan perusahaan Hartal Doktor Kontrak (HDK) serentak di seluruh negara pada jam 11 pagi hari Isnin di sekitar 20 hospital.