Ada pihak kenakan bayaran tinggi urus mayat Covid-19 bukan Islam - Utusan Malaysia

Ada pihak kenakan bayaran tinggi urus mayat Covid-19 bukan Islam

J. ARUL KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Segelintir pihak yang menguruskan mayat bukan Islam yang meninggal dunia kerana Covid-19 di Negeri Sembilan didapati mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tinggi sekali gus membebankan keluarga si mati.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, bayaran dikenakan terlalu tinggi itu sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.

Ujar beliau, antara alasan yang diberikan oleh beberapa syarikat yang mengendalikan urusan tersebut adalah mereka terpaksa menanggung kos tambahan iaitu bagi mendapatkan bahan sanitasi dan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE)

Sehubungan itu, jelas Arul Kumar, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membekalkan PPE dan bahan sanisati bagi tujuan mengurangkan kos tersebut.

“Saya juga berharap kepada semua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah Covid-19 dan pusat pembakaran mayat supaya tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi berbanding sebelum ini.

“Ini kerana mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak melalui proses upacara keagamaan seperti kebiasaan yang mengambil masa yang lama dan tidak melibatkan kos yang banyak. Oleh itu, saya memohon semua pihak dapat bersimpati dan tidak membebankan keluarga yang kehilangan ahli keluarga yang tercinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu tambah beliau, pihaknya juga telah menyemak dengan beberapa agensi kerajaan dan mendapati bukan hanya syarikat-syarikat tertentu sahaja yang ditetapkan bagi menguruskan mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Oleh itu, pihak keluarga boleh memilih mana-mana syarikat yang boleh menguruskan jenazah Covid-19 yang dapat menawarkan kos pengurusan yang lebih rendah mengikut kemampuan mereka.

“Saya juga berharap persaingan yang sihat antara syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti ini akan membantu keluarga dengan kos yang rendah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN