GEORGETOWN: Semua acara sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak susulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang berkata, penangguhan itu berikutan situasi semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, 10 Julai ini telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan ulang tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPN yang merangkumi empat fasa yang akan beralih secara berperingkat. – UTUSAN ONLINE










