MARANG: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali meneruskan rutin menyampaikan kuliah duha secara dalam talian pada setiap Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Abdul Hadi yang semakin sihat menyampaikan kuliah selama kira-kira sejam dengan mendapat lebih 11,000 tontonan.
Kali terakhir Ahli Parlimen Marang itu mengendalikan majlis ilmu berkenaan ialah pada 23 April lalu berikutan tahap kesihatannya yang kurang mengizinkan.
Sebelum ini, Abdul Hadi beberapa kali menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur termasuk pada 6 Jun lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, kuliah duha mingguan di Masjid Rusila diambil alih oleh anaknya, Muhammad Khalil bermula dari 21 Mei hingga 9 Julai.
Muhammad Khalil berkata, bapanya selamat tiba di rumah semalam dan tahap kesihatan yang cukup baik membolehkan pemimpin itu berkuliah seperti biasa.
Sementara itu, rata-rata netizen gembira melihat Abdul Hadi kembali menyampaikan kuliah secara dalam talian sekali gus mendoakan Presiden Pas itu terus diberikan kesihatan baik.










