Pulau Pinang teruskan Program Pas Mutiara

Pulau Pinang teruskan Program Pas Mutiara

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri bersetuju untuk terus membiayai Program Pas Mutiara tahun depan dengan pembiayaan sebanyak 280,000 pas atau kad akses bagi menggunakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma di Pulau Pinang menerusi peruntukan berjumlah RM7 juta susulan sambutan menggalakkan yang diterima daripada orang ramai ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, sepanjang tahun ini sahaja iaitu sehingga November lalu, sebanyak 246,934 pas telah dilanggani atau diperbaharui dengan purata langganan berjumlah 22,448 pas setiap bulan.

“Peningkatan pembelian pas ini turut menyumbang kepada pertambahan jumlah penumpang bas setiap bulan sekali gus mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengangkutan awam.

“Impak positif daripada inisiatif ini dijangka terus dirasai tahun depan terutamanya ketika beberapa projek mega di Pulau Pinang kini dalam fasa pembinaan,” katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, Pas Mutiara atau dikenali sebagai Pas Mutiara My50 yang menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari berturut-turut dengan menggunakan bas Rapid Penang itu mula diperkenalkan sejak 1 Mac 2021 dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai hampir setiap tahun.

Zairil berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk mengekalkan 15 buah bas percuma, CAT Bridge bagi tahun 2026 yang melibatkan 10 buah bas untuk laluan CAT 13 dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan lima bas bagi laluan CAT 14 dari Bukit Mertajam ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“Pembiayaan subsidi pengangkutan awam ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai penduduk Pulau Pinang untuk beralih menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

“Selain itu, langkah ini juga membolehkan pengguna menikmati penjimatan kos harian termasuk perbelanjaan petrol, parkir dan tol, sejajar dengan usaha kerajaan negeri menggalakkan mobiliti mampan dan mesra alam,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN