HULU TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri meluluskan sebanyak 8,500 permit sembelihan bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, tahun ini.
Ketua Bahagian Pembangunan Industri Ternakannya, Dr. Ahmad Fadhil Mohamad Syuaib Asren berkata, permit itu melibatkan sebanyak 8,100 lembu manakala baki adalah ternakan seperti kerbau dan kambing.
“Jumlah itu dijangka bertambah memandangkan masih ada penternak yang dalam proses mendapatkan kelulusan dari pejabat agama daerah masing-masing.
“Bagaimanapun, permohonan tahun ini menurun berkemungkinan disebabkan beberapa faktor termasuk perkembangan semasa kes Covid-19,” katanya ketika ditemui di Kampung Binjai Kertas, di sini hari ini.
Ahmad Fadhil berkata, bilangan permit sembelihan yang dikeluarkan tahun lalu membabitkan 14,000 ekor haiwan ternakan di seluruh negeri.
Katanya, orang ramai diminta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika menjalankan ibadah korban. – UTUSAN ONLINE










