PUTRAJAYA: Kes harian melonjak kepada 13,215 kes sekali gus tertinggi dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, menjadikan jumlah kes keseluruhan mencecah 880,782 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pecahan daripada kes harian yang dilaporkan, sebanyak 8,047 kes (60.9 peratus) adalah kategori satu tidak bergejala manakala sebanyak 4,637 kes (35.1 peratus) kategori dua bergejala ringan.
“Selebihnya sebanyak 531 kes (4.0 peratus) adalah kategori tiga hingga kategori lima. Ini menunjukkan sebahagian besar daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan adalah daripada kumpulan tidak bergejala dan bergejala ringan.
“Kategori tiga ini mengalami jangkitan paru-paru, kategori empat pula memerlukan bantuan pernafasan dan kategori lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 60.9 peratus kes melibatkan kategori satu dan dua yang dikesan semalam adalah melalui saringan tempat kerja dan komuniti.
“Itulah sebab kes harian semakin meningkat dan secara keseluruhan, kira-kira 135,000 ujian saringan dijalankan hari ini (semalam) dengan Selangor sebanyak 50,891 saringan, Kuala Lumpur sebanyak 15,693 saringan dan Negeri Sembilan sebanyak 9,792 saringan,” ujarnya.
Ujarnya lagi, berdasarkan kadar kebolehjangkitan kelmarin, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.19 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.40).
“Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah Putrajaya (nilai RT 1.31), Kedah (nilai RT 1.19), Selangor (nilai RT 1.18), Kuala Lumpur (nilai RT 1.17), Pahang (nilai RT 1.16), Melaka (nilai RT 1.15), Negeri Sembilan (nilai RT 1.13), Pulau Pinang (nilai RT 1.10), Sabah (nilai RT 1.06), Johor (nilai RT 1.05) dan Perak (nilai RT 1.04),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










