80 NGO hantar memorandum kepada Agong - Utusan Malaysia

80 NGO hantar memorandum kepada Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemandu Pemulihan Ekonomi Covid-19 Nasional yang dianggotai lebih 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah minggu depan.

Jurucakap jawatankuasa itu, Datuk Tan Poh Seng berkata, memorandum berkenaan menggariskan sembilan kegusaran dan lapan cadangan berikutan kesan penularan pandemik Covid-19 khususnya terhadap sektor ekonomi.

Katanya, penularan pandemik Covid-19 tidak menunjukkan tanda ia akan berhenti meskipun kerajaan melaksanakan beberapa langkah pembendungan antaranya dengan mengisytihar darurat.

“Kami tidak berpuas hati dengan kerajaan dalam mengawal pandemik tetapi melaksanakan denda yang tidak masuk akal dan keterlaluan terhadap yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Syarikat tidak mampu bertahan lagi dengan lockdown, kerajaan mesti adil pada semua sektor perniagaan. Kami berharap supaya kerajaan Pusat dan  negeri mencapai konsensus tertentu untuk mencegah penyebaran wabak,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Dalam memorandum itu, antara perkara yang menjadi kegusaran adalah dakwaan pengisytiharan darurat yang tidak mampu menyelesaikan penularan pandemik Covid-19 dan ketidakpuasan hati rakyat dengan pendekatan yang kurang berkesan oleh kerajaan untuk memerangi pandemik.

Memorandum itu turut menggariskan cadangan antaranya mempercepatkan program vaksinasi dengan mengutamakan golongan industri dan komersial, memohon Bank Negara menyediakan moratorium automatik tanpa syarat kepada peniaga serta pelan bantuan kewangan mencukupi untuk menangani isu pengangguran dan pekerja swasta termasuk ahli keluarga.

Poh Seng turut menggesa kerajaan supaya membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dengan berkolaborasi dengan klinik perubatan swasta (GP) untuk mempercepat program suntikan vaksin.

Justeru, beliau berharap kerajaan memberi keutamaan kepada kumpulan industri dan komersial termasuk pekerja asing dalam usaha membuka semula sektor ekonomi yang terjejas ketika ini.

“Kita nak memberitahu kerajaan, kita mahu bekerjasama dengan kerajaan dengan sebarang dasar yang berkesan dalam pencegahan penyebaran wabak ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN