PETALING JAYA: Seramai 7,400 pengusaha kedai dandanan rambut semakin hilang punca pendapatan malah kini berada di paras tidak mampu meneruskan perniagaan akibat tidak dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden United Hairdressing Malaysia (MHA), Dr. Michael Poh berkata, lebih 1,200 pengusaha kedai gunting rambut di bawah persatuannya juga sudah tenat sementara menunggu kebenaran beroperasi dari pihak kerajaan.
“Persatuan telah menulis surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 11 dan 18 Jun lalu bagi mendapatkan kebenaran beroperasi pada Fasa Kedua PKP nanti.
“Tidak kira ia sektor berkepentingan atau tidak, setiap perniagaan pasti ada kepentingannya yang tersendiri.
“Kami berterima kasih kerana kerajaan telah melancarkan beberapa pakej bantuan kepada rakyat namun, kami tidak dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan dengan segera ekoran terlalu banyak prosedur yang perlu diikuti,” katanya.
Tambahnya, mereka juga sukar bertahan lagi jika perkhidmatan rumah ke rumah tidak dibenarkan kerana risau penularan Covid-19.
“Satu-satunya jalan keluar adalah dengan membenarkan kedai rambut dan kedai gunting rambut memulakan perniagaan secepat mungkin, yang dapat membantu memberi manfaat kepada ekonomi negara,” tegasnya.
Tambah Michael, sekiranya industri itu terpaksa ditutup sehingga akhir tahun ini, diharap pihak kerajaan dapat membantu dari segi sokongan kewangan kepada industri.
“Kami memohon kerajan dapat memahami keperitan dan dapat menolong kami dengan membenarkan semula pembukaan perniagaan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE