Kembalikan hukuman rotan pelajar

Kembalikan hukuman rotan pelajar

DR AFIF (empat kiri) merasmikan program QR Code ‘Minda Sihat Tanpa Buli’ di SMKA Wataniah, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan rotan kepada semua guru perlu dikembalikan sebagai langkah mendisiplinkan pelajar sekaligus mengelakkan kes buli di sekolah.  

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd. Ridzwan yang sering berhadapan dengan pesakit berkaitan buli berkata, penggunaan rotan adalah instrumen paling ampuh bagi menimbulkan rasa takut kepada pelajar. 

“Kembalikan rotan ke tangan guru semula. Ia bukanlah bertujuan merotan semata-mata tetapi menakutkan atau menggerunkan para pelajar apabila buat salah. 

“Saya sendiri pernah beri rotan kepada cikgu anak-anak saya di sekolah, agar mereka menggunakan rotan tersebut jika mereka tidak buat kerja sekolah atau mempunyai salah laku,” katanya menerusi hantaran video dalam akaun TikTok miliknya, baru-baru ini. 

Selain merotan, Dr. Afif berkata, pihak sekolah juga perlu menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pelajar daripada sudut psikologi seperti mengumumkan nama pembuli di sekolah. 

“Ini secara tak langsung mempengaruhi psikologi pelajar hingga membuatkan mereka malu untuk membuli atau melakukan kesalahan lain. 

“Ini tidak, segala masalah hanya dibawa ke bilik kaunseling untuk disiasat dan menyorok kesalahan pelajar. 

“Bagi saya, siapa yang sudah terbukti buat salah di sekolah, umumkan sahaja nama mereka. Daripada segi psikologi boleh buat mereka berubah dan beri pengajaran kepada murid lain agar tidak melakukan kesalahan,” katanya. 

Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Kelantan, berharap semua pihak memanfaatkan sistem aduan digital di sekolah yang mudah diakses termasuk melalui kod pengimbas QR, untuk membolehkan ibu bapa atau pelajar membuat laporan.

“Sistem aduan ini memberi peluang kepada ibu bapa atau pelajar sendiri membuat aduan berkaitan kes buli atau masalah lain. 

“Dalam sistem tersebut, kita boleh mengetahui segala maklumat siapa yang mengadu dan apa isu yang ditimbulkan untuk disiasat.

“Apabila dapat tahu siapa yang membuli tu, tolonglah umumkan nama mereka dalam kalangan pelajar. Jangan sembunyikan kesalahan mereka. Umumkan. 

“Sistem QR sebenarnya hanya untuk tutup siapa pengadu. Pelajar yang bersalah sahaja diumumkan namanya,” ujarnya. 

Dr Afif berharap sistem warden di sekolah berasrama dapat diperbaiki dan diperbanyakkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN