70 warga emas daripada 107 kematian Covid-19 - Utusan Malaysia

70 warga emas daripada 107 kematian Covid-19

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kematian Covid-19 iaitu 107 kes berbanding semalam, 73 kes dengan melibatkan 70 warga emas manakala bakinya golongan rentan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor menjadi penyumbang terbesar kematian sebanyak 51 kes, 21 kes di Kuala Lumpur, 11 kes di Negeri Sembilan, enam kes di Johor, masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang, empat kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan.

“Seramai 62 lelaki termasuk empat warga asing dan 45 wanita termasuk lima warga asing berusia antara 27 hingga 92 tahun dengan 18 kes tiada penyakit dan 14 kes meninggal dunia di rumah.

“Antara penyakit yang dikesan dalam kalangan baki pesakit iaitu kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang, kanser, paru-paru kronik, asma, obesiti, saraf, jantung, kanser, strok, tibi, hati dan tiroid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia terus merekodkan kes positif Covid-19 menghampiri 7,000 iaitu 6,658 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 5,677 kes dengan 892 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 443 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 66,958 kes aktif.

“Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 3,047 kes diikuti Negeri Sembilan (699), Kuala Lumpur (616), Johor (414), Sarawak (361), Melaka (345) dan Sabah (322).

“Baki negeri mencatatkan Pahang (200), Kedah (145), Pulau Pinang (142), Labuan (108), Perak (101), Kelantan (89) manakala Terengganu (51), Putrajaya (16), Perlis hanya dua kes,” katanya.

Mengulas mengenai 19 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 16 kluster, dua kluster komuniti dan satu kluster pusat tahanan.

Kluster tempat kerja katanya, lima di Johor, Industri Sungai Sembrong di Kluang (68), Jalan Harmonium Tebrau di Johor Bahru (19), Industri Jalan Murni 12 di Kulai (14), Perindustrian Bakri Tiga di Muar (12), Nusa Perintis Enam di Johor Bahru, Kota Tinggi, dan Pontian (11).

“Empat di Selangor, Industri Seri Kembangan di Petaling (144), Zone B Selatan di Sepang, Petaling, Hulu Langat, dan Klang (14), Industri Jalan Sultan di Klang (13), Industri Taming Jaya di Hulu Langat dan Petaling (52) manakala dua di Pulau Pinang, Lorong Perusahaan Empat di Seberang Perai Tengah (9) dan Jalan Nagasari Satu di Seberang Perai Tengah (6).

“Lima baki kluster tempat kerja iaitu Jalan Haji Taha di Kuching, Asajaya, Bau, Samarahan, dan Serbian, Sarawak (121); Jalan Sri Raya di Melaka Tengah, Melaka (51); Industri Jalan Tech Valley Satu di Seremban, Negeri Sembilan (40); Lingkaran Syed Putra di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (16) dan Jalan Songsang di Temerloh, Pahang (15),” katanya.

Tambahnya, dua kluster komuniti, Dah Mata Ayer di Langkawi, Kedah (25); Kampung Jaya Setia Badang di Kota Bharu, Kelantan (13) manakala satu kluster pusat tahanan, Pagar Tebedu di Tebedu dan Serian, Sarawak (29).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN