JOHOR BAHRU: Op Soga VIII yang dijalankan Polis Johor bermula 12 Jun hingga 12 Julai lalu sempena kejohanan bola sepak Euro 2020 menyaksikan seramai 70 individu ditahan terdiri daripada bookie bola sepak.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang sebulan kejohanan itu, jumlah keseluruhan wang yang dipertaruhkan kesemua sindiket berkenaan bernilai RM44,286,638.
Katanya, dalam tempoh sama, polis merampas wang tunai berjumlah RM42,535 disyaki daripada pertaruhan terbabit.
“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 65 tahun dan terdiri daripada 69 lelaki dan seorang perempuan membabitkan 54 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri.
“Kesemua yang ditahan dikenakan reman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan berkenaan, selain wang tunai, polis turut merampas pelbagai perkakas yang digunakan untuk menjalankan operasi perjudian atas talian termasuk telefon bimbit, komputer riba, tablet dan modem internet.
Jelas beliau, siasatan bagi operasi itu telah dijalankan di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953. – UTUSAN ONLINE










