PUTRAJAYA: Hanya lima negeri yang berjaya mencapai ketiga-tiga nilai ambang ditetapkan dan seterusnya beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula Isnin ini.
Negeri berkenaan adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.
“Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dibuat di peringkat negeri, tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan, ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.
“Dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang berubah ialah kadar purata kes COVID-19.
“Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.
“Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.