Enam rakyat Gaza maut ditembak ketika ambil bantuan

Enam rakyat Gaza maut ditembak ketika ambil bantuan

ENDUDUK Palestin mengangkut bekalan makanan dari pusat agihan bantuan GHF di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 72 rakyat Palestin terbunuh, termasuk enam orang yang ditembak ketika sedang mengambil bantuan makanan berhampiran sebuah pusat agihan yang disokong Amerika Syarikat (AS) di selatan Rafah.

Insiden itu merupakan siri tembakan kejam keempat berhampiran pusat bantuan yang dikendalikan oleh Tabung Kemanusiaan Gaza (GHF) selepas badan swasta itu menyambung semula operasi agihan bekalan yang sebelum ini dihentikan sementara.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal berkata, sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan) semalam, enam orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat tembakan tentera  Israel berhampiran bulatan Al-Alam.

Penduduk Gaza dilaporkan berkumpul hampir setiap hari sejak hujung Mei di kawasan bulatan itu untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan daripada pusat GHF, yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Seorang saksi, Samir Abu Hadid yang berada di lokasi sejak awal pagi berkata, ribuan orang berkumpul berhampiran bulatan namun sebaik sahaja ada yang cuba bergerak ke arah pusat bantuan, tentera Israel melepaskan tembakan dari kenderaan perisai yang diletakkan berhampiran pusat itu, mulanya ke udara dan kemudian ke arah orang awam.

Tentera Israel mendakwa, anggotanya melepaskan tembakan amaran ke arah individu yang didakwa bergerak ke arah yang mengancam keselamatan pasukan.

GHF yang merupakan inisiatif swasta dengan sumber pembiayaan yang tidak jelas, mula beroperasi pada hujung Mei apabila Israel melonggarkan sekatan bantuan ke atas wilayah Gaza yang sudah berlangsung lebih dua bulan.

Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan utama lain bagaimanapun enggan bekerjasama dengan GHF kerana bimbang ia mungkin berperanan menyokong matlamat ketenteraan Israel.

Israel kini berdepan kritikan antarabangsa yang semakin hebat susulan situasi kemanusiaan yang sangat buruk di Gaza dengan PBB memberi amaran seluruh populasi wilayah itu kini berada dalam risiko kebuluran.

Sementara itu, sebuah bot bantuan yang membawa 12 aktivis, termasuk Greta Thunberg sedang menghampiri Gaza dalam usaha menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang semakin memburuk.

Kumpulan itu kekal berhubung dengan badan-badan undang-undang dan hak asasi antarabangsa untuk memastikan keselamatan para aktivis di atas kapal, sambil memberi amaran sebarang tindakan pemintasan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×