ALOR GAJAH: Seramai 38,754 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) sejak dilancarkan pada Jun lepas.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamad Sadique berkata, daripada jumlah itu seramai 2,991 orang telah menerima suntikan menggunakan bas bergerak yang telah diubah suai untuk menjalankan vaksinasi.
Menurut beliau, selepas Johor dan Melaka, Movac akan bergerak ke negeri-negeri lain secara berperingkat bagi mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
“Movac peringkat negeri akan diuruskan kerajaan negeri melibatkan aspek koordinasi serta mengenal pasti lokasi yang difikirkan sesuai. Program ini tidak bergerak ke mana ia mahu pergi, sebaliknya pergi ke kawasan yang dikemukakan oleh pegawai kanan kesihatan.
“Selain itu, Movac memiliki 25 buah bas yang akan digerakkan ke seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak bagi menjayakan program ini. Jumlah bas bergerak akan dipertimbang untuk ditambah sekiranya ia benar-benar membantu mempercepat dan memudahkan pemberian vaksin,” katanya dalam sidang akhbar Program Movac dan RT Care Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, di sini hari ini.
Turut hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Sementara itu, mengenai jumlah petugas pada program Movac, Halimah berkata, beliau mengakui terdapat kekangan daripada segi kesediaan petugas barisan hadapan seperti jururawat yang bertanggungjawab memberikan suntikan susulan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV).
Katanya, sebagai contoh bas bergerak ini mampu menempatkan lima tempat suntikan vaksin dan satu untuk orang kurang upaya (OKU), tetapi tidak semua akan dibuka.
“Sebab itu kita lihat ada ketika tempat suntikan ini tidak penuh. Bagaimanapun, saya faham kekangan yang dialami oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah dalam menguruskan kakitangan mereka untuk bertugas.
“Oleh itu, kita buka juga tempat pemberian vaksin di bahagian dalam bangunan selain dalam bas. Langkah ini sebagai usaha menambah bilangan pemberian vaksin kepada mereka yang telah disenaraikan di aplikasi MySejahtera,” jelasnya. – UTUSAN










