KUALA LUMPUR: 33 pengamal media di seluruh negara berpeluang menyertai Bengkel Kewartawanan Penyiasatan anjuran Transparency-International Malaysia (TI-Malaysia) sebagai usaha memerangi rasuah.
Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan berkata, bengkel sehari yang dijalankan secara dalam talian semalam antara lain untuk mengasah keterampilan wartawan penyiasat negara yang diyakini membolehkan mereka membongkar jenayah salah guna kuasa dengan lebih baik.
Katanya, bengkel itu juga berfungsi menjana percambahan idea dan pandangan antara panel jemputan yang pakar dalam bidang media, perundangan dan akademik.
“Penganjuran bengkel ini adalah sesuai dan relevan dengan perkembangan semasa, mengambil kita kepentingan para wartawan memperoleh pengetahuan yang mendalam untuk menyiasat perbuatan rasuah secara menyeluruh.
“Wartawan penyiasatan profesional yang melaporkan dengan fakta yang tepat dan berpengetahuan mendalam tentang ketelusan, tadbir urus baik dan integriti adalah barisan hadapan kita dalam memerangi rasuah.
“Ramai berterima kasih atas laporan-laporan yang didedahkan berkat usaha dan risiko yang dilalui wartawan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bengkel itu menampilkan lima pakar media dan perundangan yang masing-masing menyampaikan ceramah pada waktu berlainan iaitu peguam dari Raja Daryl & Loh, Chew Phye Keat, kolumnis dan bekas Penyunting Berita The Sun Daily, R. Nadeswaran.
Selain itu, bengkel tersebut menampilkan Pengarang Urusan The Vibes, Terence Fernandez; Pengurus, Projek Khas Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abdul Karim dan ahli akademik berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan iaitu Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican.
Bengkel yang mendapat sokongan Malaysia Reform Initiative (MARI) dan United States Agency for International Developmen (USAID) juga menyentuh berkenaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (2010) yang sekarang tidak melindungi pemberi maklumat yang secara langsung membekalkan maklumat kepada media.
“Mengambil kita aspek kepentingan awam dalam pelaporan penyiasatan, TI-Malaysia memperjuang inisiatif untuk memperluas perlindungan ke atas pemberi-pemberi maklumat di negara ini bagi melindungi wartawan dan sumber mereka.
“Bengkel ini secara tidak langsung melengkapkan para wartawan dengan skil yang relevan dengan mendalam dan meningkatkan keterlibatan bersama media dalam melaporkan perbuatan rasuah dan memperjuangkan penggubalan undang-undang yang lebih baik dalam memerangi rasuah,” katanya. – UTUSAN ONLINE