301 sektor kluster koperasi dibenarkan beroperasi - Utusan Malaysia

301 sektor kluster koperasi dibenarkan beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan 301 daripada 493 permohonan melibatkan sektor koperasi dan bukan koperasi yang tergolong dalam kluster koperasi untuk meneruskan aktiviti ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara. 

Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus SKM, Ibrahim Kasah berkata, jumlah kebenaran itu membabitkan dua permohonan daripada Co-opbank termasuk Co-opbank Pertama dan Bank Rakyat, 211 koperasi kredit dan 88 Ar -Rahnu untuk beroperasi. 

Katanya, tiga kluster koperasi yang boleh membuat permohonan beroperasi daripada SKM adalah sektor perkhidmatan kewangan termasuk Co-opbank, koperasi kredit dan Ar- Rahnu. 

Beliau menambah permohonan aktiviti ekonomi itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum mendapat kelulusan SKM. 

“Bagaimanapun, bagi sistem ini kami menolak sejumlah 192 permohonan yang tidak layak kerana bukan kluster, koperasi tidak berdaftar, koperasi memberi maklumat salah dan syarikat.

Permohonan bukan kluster koperasi itu bermaksud koperasi yang tidak menjalankan aktiviti Co-opbank, kredit atau Ar-Rahnu.

“Sehingga kini, permohonan yang paling tinggi diluluskan adalah koperasi di sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah 117 permohonan,” katanya hari ini. 

Kata Ibrahim, SKM melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan koperasi bersesuaian menjalankan aktiviti ekonomi semasa PKP.

Beliau memaklumkan pihaknya turut mempunyai senarai nama koperasi yang mempunyai aktiviti dibenarkan dan prosedur operasi standard (SOP) dipersetujui oleh pihak kementerian untuk koperasi beroperasi sepanjang PKP 3.0. 

 “Bagi Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Perladangan dan Asas Tani serta Sektor Pembinaan, perlu memohon dengan kementerian yang berkenaan untuk membolehkan koperasi meneruskan aktiviti dan beroperasi. 

“Sebagai contoh, koperasi yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan perlu memohon ke Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna manakala aktiviti perladangan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia dan sebagainya,” katanya. 

Ibrahim berkata, terdapat beberapa perbezaan bagi kaedah pengoperasian koperasi sepanjang PKP 1.0 dan PKP 3.0.

Katanya, SKM turut menubuhkan jawatan kuasa khusus menerusi SKM Negeri dan Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus untuk memantau koperasi yang beroperasi semasa PKP 3.0 bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi. 

“Perbezaan adalah dari segi tempoh masa operasi di mana pada PKP 1.0, tempoh masa adalah dari pukul 9 pagi hingga 4 petang manakala pada PKP 3.0 waktu dipendekkan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang. Di samping itu, terdapat juga perbezaan peratusan kakitangan koperasi yang bertugas semasa PKP.

 “Pihak MITI turut memberikan kebenaran kepada SKM dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  untuk meneliti dan meluluskan permohonan setiap koperasi kredit, coopbank dan Ar-rahnu melalui sistem CIMS 3.0 bagi PKP ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya