301 katil digunakan di wad Covid-19, PKRC di Terengganu

301 katil digunakan di wad Covid-19, PKRC di Terengganu

NOR Azimi Yunus (dua dari kiri) mendengar taklimat pegawai kesihatan di pusat saringan bersasar Covid-19 Sekolah Kebangsaan Gong Pasir di Dungun, Terengganu, hari ini. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Terengganu ketika ini adalah sebanyak 301 buah.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu 72 adalah katil di wad Covid-19 di hospital manakala 229 lagi membabitkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, walaupun kadar penggunaan katil di negeri ini rendah, namun masyarakat dinasihatkan agar tidak alpa dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Sebelum ini, sebanyak lima PKRC dibuka dengan kapasiti katil sebanyak 2,389 buah, tetapi selepas situasi Covid-19 bertambah baik, dua daripadanya iaitu di Institut Perguruan Sultan Mahmud, Besut dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditutup.

“Ketika ini jumlah keseluruhan katil di tiga PKRC yang beroperasi adalah sebanyak 1,513 buah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses saringan bersasar di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir hari ini.

Nor Azimi berkata, bagi wad Covid-19 pula, sebanyak 411 katil disediakan membabitkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dan Hospital Hulu Terengganu.

Dalam pada itu, katanya, saringan bersasar Covid-19 terhadap 1,105 penduduk di mukim Sura di sini dijangka selesai sepenuhnya pada hari ini selepas empat hari proses itu dilaksanakan.

Katanya, sehingga kini, seramai 976 penduduk di tiga lokaliti terlibat iaitu di Perumahan Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman Maidam sudah disaring. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN