300 penjaja, peniaga kecil jadi kumpulan pertama divaksin

300 penjaja, peniaga kecil jadi kumpulan pertama divaksin

HALIMAH Mohamad Sadique (kanan) berbual dengan seorang peniaga yang hadir menerima vaksin melalui program MOVAK untuk penjaja dan peniaga kecil Daerah Kota Tinggi di Dome Dataran Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor. - FOTO/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 300 penjaja dan peniaga kecil dari dua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah ini menjadi kumpulan pertama diberi suntikan vaksin dalam Johor di bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) untuk golongan itu.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamad Sadique berkata, seramai 100 orang penjaja adalah dari kawasan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) manakala 200 lagi adalah dari kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Katanya, sehingga kini seramai 794 jumlah penjaja dan peniaga kecil yang direkodkan telah berdaftar di bawah dua PBT tersebut tidak termasuk penjaja harian yang beroperasi sepanjang pandemik Covid-19.

“Program ini akan berterusan dan dibuat secara berperingkat kerana ada dalam kalangan penjaja sudah terima vaksin lebih awal dan ada yang belum terima. Tambahan pula di kawasan terbuka seperti ini kita tidak dapat buat terlalu ramai penerima.

“Di Johor, dua PBT ini adalah yang pertama melaksanakan vaksin untuk penjaja dan peniaga kecil yang mana usaha ini juga digerakkan oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita harap program MOVAK yang memudahkan penjaja mendapatkan vaksin akan dilaksanakan di daerah lain juga selepas mendapat persetujuan secara bersama pengerusi Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) daerah masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata demikian selepas melakukan lawatan program MOVAK untuk penjaja dan peniaga kecil Daerah Kota Tinggi di Dome Dataran Tun Sri Lanang, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi CITF Kota Tinggi merangkap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil berkata, usaha dilakukan itu adalah untuk memastikan para penjaja dan peniaga di dalam daerah ini dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan pemberian vaksin itu.

“Mereka berniaga hari-hari, jadi dengan kerjasama bersama Kementerian Perpaduan Negara, KPKT, PBT kita cuba buat secara berperingkat agar semua penjaja dalam daerah ini terima suntikan vaksin untuk bantu mereka dalam kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bagi peniaga makanan di Desaru, Bandar Penawar, Mohd. Nizam Mohd. Ayob, 40, berkata, dia bersyukur kerana penantian sejak Februari lalu untuk mendapatkan vaksin dipercepatkan melalui pemberian khusus kepada golongan sepertinya.

“Saya rasa teruja sebab hari ini dapat vaksin, tambahan pula sudah lama menunggu. Saya selalu kemas kini pendaftaran di MySejahtera bila ada pendaftaran berkelompok untuk penjaja ini dan dapat slot rasa syukur sangat dipercepatkan.

“Bagi saya vaksin ini bagus untuk peniaga kecil bahkan sama penting seperti suntikan tifoid untuk keselamatan diri dan orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN