30 warga asing, seorang wanita tempatan buat jamuan raya dicekup - Utusan Malaysia

30 warga asing, seorang wanita tempatan buat jamuan raya dicekup

WARGA asing yang ditahan selepas mengadakan jamuan Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 30 warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan selepas mengadakan jamuan Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves, dekat sini.

Penahanan itu dilakukan susulan maklumat awam yang diterima pusat kawalan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Team Pematuhan telah ke rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seramai 31 orang di dalam rumah mengadakan jamuan makan sempena Aidiladha.

“Mereka terdiri 29 lelaki warga asing, seorang wanita warga asing dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun.

“Semakan lanjut mendapati hanya empat daripada 30 warga asing ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala enam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh.

“Seramai 20 orang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Zainal, kesemua mereka didapati melakukan kesalahan gagal mematuhi SOP dengan berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal, memiliki PLKS yang tamat tempoh, dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Jelas beliau, kesemua mereka dibawa ke IPD Gombak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebak ke jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

“Kes turut disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, (PPN) 2021, selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1963 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Kesemua tangkapan warga asing itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi permohonan tahanan reman,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Zainal, wanita tempatan yang turut berada di rumah itu dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, (PPN) 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya