3 kit ujian kendiri Covid-19 kini boleh dijual - Utusan Malaysia

3 kit ujian kendiri Covid-19 kini boleh dijual

PETUGAS farmasi menunjukkan kit Covid-19 Ag Saliva Home Test keluaran SD Biosensors yang dijual di Farmasi V-Care, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah memperakui kit ujian kendiri Covid-19 yang diberi kelulusan bersyarat pada 21 Julai lalu untuk diimport dan diedarkan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kit berkenaan kini sudah pun boleh dijual di semua farmasi komuniti berdaftar atau premis fasiliti kesihatan yang terdapat di negara ini.

“Mereka yang buat ujian kendiri itu bagaimanapun perlu memasukkan segera hasil keputusan diterima menerusi aplikasi MySejahtera sama ada negatif, positif atau status invalid,” katanya dalam sidang akhbar secara maya Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Kit ujian air liur itu kesemuanya menggunakan kaedah RTK-Antigen yang dipasarkan Reszon Diagnostics International Sdn. Bhd., Citymedic Sdn. Bhd. dan Medinics (Malaysia) Sdn. Bhd.

Kecuali Reszon yang dihasilkan di kilang syarikat tempatan berkenaan di Selangor, dua lagi kit kendiri itu diimport khas masing-masing dari pengeluarnya di Korea Selatan dan China.

Ketiga-tiga produk tersebut turut didaftarkan Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan Malaysia (MDA) dan sesuai untuk tujuan saringan pantas kerana keputusannya lebih cepat dan mudah.

“Ia juga boleh digunakan pihak berkuasa di pintu masuk antarabangsa negara kita selain bagi kemasukan pelajar ke pusat pengajian tinggi tempatan atau sekatan jalan raya,” kata Adham.

Malah beliau berkata, kit berkenaan sesuai untuk saringan pesalah yang ditangkap polis atau pendatang asing tanpa izin diberkas imigresen kerana hasil ujian diperoleh terus di lapangan.

Bagi yang dapat keputusan negatif tetapi bergejala, mereka diminta segera merujuk kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran atau klinik kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara mereka yang menerima keputusan positif pula, perlu juga melaporkan perkara itu kepada CAC berdekatan kediaman atau terus pergi klinik untuk proses pemantauan susulan.

Bagaimanapun, jika keputusan invalid, mereka dikehendaki membuat ulang ujian kendiri itu sekali lagi dengan mengikut manual carta aliran pengurusan kit yang ada pada produk tersebut.

Penjualan kit itu jelas Adham, dijangka mampu mengurangkan kesesakan teruk di premis saringan, bahkan petugas terbabit pun boleh dimanfaatkan pula di pusat pemberian vaksinasi.

Menyentuh maklumat tular melalui media sosial kononnya ramai pesakit Covid-19 maut di Hospital Ampang, Selangor kerana bekalan tong oksigen kurang, beliau menafikan perkara itu.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pesakit terbabit sudah pun tahap 4 dan 5, manakala bekalan gas dihantar mengikut jadual berkala tetap dua kali sehari ke hospital itu,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya