26 tan sisa sampah ribut di Tanjung Sedili dibersihkan 

26 tan sisa sampah ribut di Tanjung Sedili dibersihkan 

ANGGOTA kerja SWM Environment melakukan kerja-kerja pembersihan pasca ribut di Tanjung Sedili yang berjaya membersihkan sebanyak 26 tan sisa sampah di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebanyak 26 tan sisa sampah ribut di Tanjung Sedili sudah dibersihkan dalam misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) susulan bencana itu baru-baru ini. 

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, misi CSR tersebut melibatkan kerja-kerja pembersihan pasca kejadian ribut membabitkan seramai 11 orang anggota kerja SWM Environment.

Katanya, kesemua mereka melaksanakan kerja pembersihan saliran parit tersumbat akibat pokok tumbang, sisa pokok tumbang dan atap zink rosak. 

“SWM Environment telah melunaskan misi CSR melalui operasi bantuan kejadian ribut membantu penduduk di kawasan Tanjung Sedili, misi itu melibatkan kerja-kerja pembersihan pasca kejadian ribut yang telah membersihkan sebanyak 26 tan sisa sampah.

“Kami sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan melalui operasi pembersihan pasca bencana alam, bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Norlisam, antara aset digerakkan dalam operasi itu adalah sebanyak lapan buah kenderaan seperti jentolak, lori open tipper, jentera ultra-whack, jentera penyembur, lori Roll-On, Roll-Off (RORO) berkapasiti muatan lima dan sebelas tan bersama sebuah lori tangki air serta sebuah pacuan empat roda.

Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan awal yang dilaksanakan, tiada sebarang kerosakan terhadap aset tong sampah beroda (TSB) milik penduduk di kawasan kejadian ribut. 

“Tetapi, penduduk yang terlibat dinasihatkan untuk memeriksa keadaan TSB mereka sekali lagi dan mengemukakan permohonan penggantian atau pembaikan sekiranya terdapat kerosakan melalui pautan http://portal.swmsb.com:81/ atau melalui Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472.

“Perkhidmatan SWM Environment di kawasan terjejas beroperasi seperti biasa bagi memenuhi keperluan penduduk melaksanakan pembersihan di kediaman masing-masing. Malah, kita menasihatkan mereka untuk mengasingkan sisa bencana dan memanfaatkan perkhidmatan Kutipan +1,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian bermula pukul 3 petang Jumaat lalu, hujan lebat dan angin kencang kira-kira lebih dua jam telah merosakkan 291 rumah dari tujuh kampung di Tanjung Sedili.

Kampung yang terlibat antaranya Kampung Sri Gading; Kampung Teluk Jeri; Kampung Teluk Jeri Luar; Kampung Teluk Jeri Dalam; Kampung Tanah Putih; Taman Sedili dan Kampung Sedili Besar.

Ribut berkenaan turut mengakibatkan lebih 20 pokok tumbang sehingga menutupi laluan jalan raya namun tiada kecederaan melibatkan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya