ALOR SETAR: Sebanyak 225 set bubu naga dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di perairan Kuala Kedah dan Yan dekat sini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun lalu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bubu naga itu ditemukan dalam operasi pemantauan yang dilakukan Maritim Malaysia sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, beberapa lokasi baharu bubu naga itu dipasang juga dikenal pasti di perairan tersebut.
“Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua bubu yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM27,000.
Jelasnya, penggunaan bubu naga didapati menjadi penyelesaian bagi mereka yang tidak bertanggungjawab berikutan hanya perlu mengeluarkan modal yang sedikit tetapi mampu meraih keuntungan yang besar.
“Penggunaan bubu itu dilarang kerana mampu mengancam dan merosakan ekosistem marin serta menjejaskan pendapatan nelayan tradisional atau persisir pantai,” jelasnya.
Tegasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan,” katanya.
Menurutnya, Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.










