PENDANG: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan 220 kompaun bernilai hampir RM1.9 juta ke atas majikan, penyedia penginapan dan pekerja di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejak 12 Jun lalu hingga semalam.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kompaun paling banyak dikeluarkan di Selangor iaitu sebanyak 86 kompaun membabitkan nilai RM762,000 diikuti Kuala Lumpur dengan 51 kompaun (RM541,0000), Pulau Pinang 21 kompaun (RM133,500) serta Negeri Sembilan 13 kompaun (RM130,000).
“Jenis kesalahan paling tinggi dengan 78 kompaun dikeluarkan ialah gagal mematuhi kapasiti kehadiran pekerja dengan majikan terlibat didapati tidak mengendahkan arahan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah (BDR).
“Tiga lagi kesalahan paling kerap dilakukan ialah beroperasi tanpa kebenaran dengan 57 kompaun dikeluarkan, 31 kompaun atas kesalahan gagal melaksanakan penjarakan fizikal dan 18 kompaun kerana gagal mendaftar masuk premis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penyerahan bakul makanan bagi Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKRW) Parlimen Pendang di Kampung Gajah Mati di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










